KUALA LUMPUR, Nov 7 – Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyangkal beliau menerima tekanan daripada sesetengah puak agar melepaskan jawatannya sebagai Presiden PAS berhubung isu kerajaan perpaduan membabitkan Umno-BN.
“Kami akan mengambil tanggungjawab penuh. Hari ini kami menerima sokongan dan keyakinan daripada perwakilan dari seluruh negara, ini akan membantu memperkukuhkan pendirian kami,” kata beliau pada sidang media di akhir seminar politik sehari parti itu di Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar dekat sini petang tadi.
Sehubungan itu, Hadi juga menekankan, isu kerajaan perpaduan dengan Umno-BN kini sudah ditutup dan mahu memberi tumpuan ke arah kerjasama baru dalam Pakatan Rakyat.
Terdahulu dalam ucapan penggulungannya, Hadi yang memimpin PAS sejak September 2003 yakin akan ada cahaya di hujung terowong walaupun ramai berpandangan “PAS sedang berhadapan dengan krisis kepimpinan.”
Sambil membandingkan parti itu dengan pasukan bola sepak, Ahli Parlimen Marang ini berkata, “separuh masa pertama jauh daripada berakhir.”
“Cuba bayangkan PAS seakan sebuah pasukan bola sepak dan kita ada seorang pengurus membimbing mereka. Kemudian, kita akan ada pengulas-pengulas yang mengkritik cara kita bermain.
“Bagaimanapun kita harus beringat bahawa akan ada juga mereka yang akan memprovokasi kita dengan membaling mercun ke arah padang apabila kita sedang bermain.
“Tetapi adakah kita membaling semula mercun ke arah mereka,” kata beliau yang berhadapan dengan kritikan pemerhati politik Prof. Dr. Abdul Aziz Bari ketika sesi pagi tadi.
Malah katanya, PAS juga tidak sewajarnya menolak kritikan pedas yang dibuat, sebaliknya harus menerima pandangan-pandangan sedemikian.
“Kita perlu professional ... kita bukan pemain bola kampung. Kita seharusnya mengucapkan terima kasih kepada mereka yang memberikan kritikan konsturktif,” katanya.
Pensyarah undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa itu merupakan antara dua pemerhati yang membentangkan pandangan mereka pada seminar hari ini.
Seorang lagi ialah pensyarah kajian media Universiti Malaya, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah.
Hadi juga menyifatkan seminar hari ini mencatatkan kejayaan besar.
Beliau menambah, program itu membuktikan PAS merupakan parti yang demokratik dan sanggup menerima kritikan.
“Seminar ini menunjukkan PAS adalah demokratik kerana ia bukan sahaja membenarkan ahli parti memberi pandangan, malah menerima nasihat daripada mereka yang bukan ahli parti,” katanya.
Terdahulu Aziz menegaskan, perwakilan tidak wajar mengkritiknya kerana beliau hanya seorang “penonton yang mengikuti perlawanan bola.”
Malah Aziz juga berkata, PAS tidak akan berupaya menjadi parti alternatif sekiranya tidak dapat menerima perlembagaan negara yang mengiktiraf masyarakat bukan Islam.
Beliau juga menyelar sikap PAS yang gemar menyalahkan Umno setiap kali berlaku sesuatu yang negatif terhadap parti itu.
PAS sebaliknya harus melihat ke dalam parti dan mencari jalan untuk membetulkan apa juga masalah yang timbul, katanya.
“PAS harus menjadi sebuah parti yang terbuka dan menjadi tumpuan rakyat adalah lumrah, jadi jangan lagi bermain cara lama, ada benda sikit salahkan Umno, ini tidak harus dilayan, kita harus fokus apa yang ada dalam parti,” kata Aziz.
Abu Hassan pula berkata, PAS bermungkinan berdepan dengan masalah besar pada pilihan raya umum akan datang memandangkan kajian menunjukkan golongan muda mempunyai tanggapan negatif terhadap keupayaan kepimpinan parti sekarang.
Kata Abu Hassan, kajian yang dijalankan beliau bagi menjangka keputusan pilihan raya umum ke-13 itu juga menunjukkan golongan muda tidak kenal dengan pemimpin-pemimpin PAS.
“Menurut kaji selidik itu, yang mereka kenal cuma Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Hadi, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (bekas mentri besar Perak), Mohamad Sabu dan Datuk Seri Azizan Abdul Razak (Mentri Besar Kedah),” katanya.
Abu Hassan berkata, kajian berkenaan turut meneliti laman-laman blog berunsur politik dan mendapati blog-blog yang sebelum ini menyokong PAS telah kembali menjadi atas pagar.
“Kajian menunjukkan blog-blog sedemikian meningkat 213 peratus,” katanya.
Dalam pada itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub mengumumkan lima resolusi yang diputuskan oleh seminar hari ini, iaitu:
– PAS harus memperkukuhkan kerjasamanya dalam PR dan bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang;
– PAS harus lebih agresif dalam menjadikan kelab penyokong lebih aktif di kawasan-kawasan pengundi majoriti bukan Islam;
– Kepimpinan PAS harus memperkukuhkan pendiriannya berdasarkan penyelidikan dan memastikan ia mendampingi akar umbi;
– Perlu menetapkan KPI yang jelas bagi sayap Pemuda dan Wanita bagi menarik pengundi-pengundi muda; dan
– Mahu parti melancarkan kempen PAS Untuk Semua di peringkat nasional.






TGHA dalam beberapa situasi, patut mencontohi pragmatisma dan dinamisma arwah Ustaz Fadzil. Pada pandangan saya, seandainya dalam PRU 12, arwah Ustaz Fadzil masih ada bersama2, BN sudah tentu menjadi sejarah. Timbalannya pula hanyalah dilihat tidak lebih sebagai penumpang sahaja. Sayap Pemuda juga lesu. Cuma kelihatan kadang2 melenting, barangkali ingin memberi tahu bahawa mereka masih bernafas. Mereka masih gagal memperlihatkan satu objektif dan halatuju yang jelas. Apa yang
Dr.Aziz Bari dan Dr. Abu Hassan Hasbullah kata memang banyak relevennya dalam isu ini. Cuma 'hardcore' penyokong presiden sahaja yang enggan menerima kenyataan.
Sekali lagi saya berharap mereka yang teratas, akan mengambil sikap terbuka dan seterusnya dengan segera mengorak langkah2 yang sesuai. kalaulah PAS masih gagal lagi dalam PRU 13, lepas ini jangan mimpi lagilah.
Wassalam.