Kota Siputeh: SPR kaji ruang kemuka rayuan

KUALA LUMPUR, Nov 17 — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan meminta nasihat Peguam Negara berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengisytiharkan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kota Siputeh, Kedah.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata SPR akan meminta nasihat Peguam Negara bagi menentukan langkah seterusnya yang patut diambil berikutan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

“Kita perlu meminta nasihat daripada Peguam Negara terlebih dahulu mengenai langkah yang perlu diambil memandangkan ini kali pertama kes sedemikian berlaku dalam sejarah.

“Kita mahu lihat sama ada SPR mempunyai ruang untuk merayu kes itu kepada pihak yang lebih tinggi (Mahkamah Rayuan),” katanya kepada Bernama.

“Isu ini telah menjadi satu isu akademik yang wajar diteliti, jadi elok SPR membawanya kepada Peguam Negara terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan,” kata Wan Ahmad.

Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin semalam memutuskan bahawa kerusi DUN Kota Siputeh kosong selepas penyandangnya Datuk Abu Hassan Sarif tidak menghadiri dua persidangan DUN tahun ini.

Dalam keputusannya, Alizatul menegaskan bahawa SPR bertindak secara tidak wajar dan keputusan suruhanjaya itu bahawa Abu Hassan masih merupakan wakil rakyat bagi kawasan Kota Siputeh dan kerusi DUN itu tidak kosong, perlu dibatalkan.

Isu ini dibawa ke Mahkamah Tinggi berikutan SPR pada mesyuarat Sept 1 lepas memutuskan kerusi itu tidak kosong kerana pada pandangan suruhanjaya itu, Abu Hassan perlu dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib DUN Kedah terlebih dahulu sebelum kerusi itu disahkan kosong.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah berkata Abu Hassan tidak akan menghadiri persidangan bajet DUN Kedah yang dijadual berlangsung selama tiga hari mulai esok sebagai menghormati keputusan mahkamah.

“Kita menerima keputusan (mahkamah) dengan lapang dada dan hati terbuka dan akan sabar menunggu keputusan rayuan pada Nov 20 ini,” kata Ahmad Bashah semasa dihubungi Bernama.

Mentri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak pula berkata keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Kota Siputeh itu membuktikan kerajaan negeri Kedah bertindak berlandaskan undang-undang.

Katanya Speaker DUN Datuk Dr Abdul Isa Ismail mengambil tindakan yang betul apabila mengisytiharkan Abu Hasan telah hilang kelayakan sebagai Adun ekoran tidak menghadiri sidang DUN sebanyak dua kali berturut-turut tanpa memaklumkannya kepada Speaker.

“Kita bertindak atas undang-undang dan keputusan Mahkamah Tinggi itu haruslah menjadi pengajaran kepada semua wakil rakyat bahawa mereka mempunyai tanggungjawab dan diberi amanah oleh rakyat untuk menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri,” kata beliau kepada Bernama.

 

Comments (2)Add Comment

Write comment

busy