Asri didakwa, mahkamah tolak permohonan pindah kes

TERKINI 2

Oleh Adib Zalkapli

KUALA LUMPUR, Nov 18 — Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini atas tuduhan menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah.

Asri yang ditahan 1 November lalu mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan apabila pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Wan Mahyuddin Wan Muhammad pada pukul 9.15 pagi tadi.

Beliau diwakili oleh Kamar Ainiah Kamaruzzaman dan Jamal Mohd Lokman.

Perbicaraan akan didengar pada 5 Januari depan.

Bekas mufti itu, yang diiringi sekumpulan penyokong yang berhimpun di pekarangan mahkamah sejak awal pagi, didakwa mengikut Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 iaitu mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang agama Islam tanpa tauliah.

Jika disabitkan kesalahan beliau boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun.

Penahanan Asri oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sebuah banglo milik seorang ahli perniagaan di Taman Sri Ukay, Hulu Klang ketika memberikan ceramah kepada lebih 100 pengikut telah mencetuskan kontroversi termasuk parti-parti politik Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat merasakan tindakan itu tidak wajar.

Asri, 38, merupakan pensyarah sehingga dilantik sebagai mufti Perlis pada 2006.

Beliau dilantik sebagai mufti Perlis pada 1 November 2006 untuk tempoh tiga tahun tetapi memilih untuk bersara awal pada 11 November tahun lalu dan kemudian melanjutkan pengajian di Universiti Wales, Lampeter.

Sebelum ini JAIS berkata, penahanan dilakukan berdasarkan aduan orang ramai terhadap Asri sejak beliau mula mengadakan ceramah agama di Selangor tiga tahun lalu.

Asri mendakwa beliau merupakan satu-satunya tokoh agama yang tidak dibenarkan oleh JAIS memberikan ceramah agama di negeri itu termasuk ketika menjadi mufti.

Ketika kesnya disebutkan hari ini, Wan Mahyuddin menolak permohonan pendakwa untuk memindahkan kes ini ke Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam dan permohonan pembela untuk menangguhkan perbicaraan atas alasan pertuduhan ke atas Asri kabur.

Dalam alasannya, Wan Mahyuddin berkata, perbuatan menyampaikan ajaran agama Islam bukan sesuatu yang luar biasa dan kes itu boleh didengar di mahkamah rendah.

Malah beliau juga menolak hujah pendakwa bahawa pengaruh Asri dan publisiti meluas memerlukan kes ini dipindahkan ke mahkamah tinggi.

Bagaimanapun Jamal berhujah bahawa tindakan memindahkan kes ke mahkamah tinggi akan mengehadkan peluang Asri sekiranya perlu mengemukakan rayuan kelak.

Berhubung pertuduhan terhadap Asri pula, Kamar Ainiah berkata, adalah perlu bagi pasukan pendakwa menjelaskan apa yang dimaksudkan "mengajar perkara-perkara berkaitan dengan Islam" bagi membolehkan pihaknya membela kes dengan baik.

Malah pembela juga mengadu bahawa pendakwa hanya membekalkan mereka afidavit kira-kira 10 minit sebelum kes didengar hari ini.

Comments (0)Add Comment

Write comment

busy