PETALING JAYA, Nov 20 — Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim menegaskan kerajaan negeri mempunyai alasan kukuh membeli hutang Talam Corporation — tindakan yang diumumkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu lalu.
Pembelian hutang itu adalah untuk mendapatkan kembali hutang anak syarikat kerajaan negeri itu berjumlah RM391.7 juta, tegas beliau.
Selain dipersoalkan oleh Barisan Nasional (BN) Selangor tindakan Menteri Besar juga dipertikaikan oleh segelintir pemimpin pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri.
Emel mempertikaikan tindakan Khalid, yang juga pemimpin dari PKR sendiri, juga didedahkan oleh media baru-baru ini.
Dalam temu bual bersama TVSelangor semalam, Khalid berkata keputusan itu telah mendapat persetujuan DUN Isnin lalu yang meluluskan peruntukan tambahan untuk tujuan berkenaan.
“Sebenarnya membeli hutang Talam Corporation ialah satu usaha supaya dapat menzahirkan hutang-hutang yang dihutangi oleh Talam Corporation dari anak-anak syarikat negeri Selangor,” kata beliau yang turut dipetik oleh portal Selangorkini.
Khalid menjelaskan beliau telah berbincang dengan Talam Corporation dan bersetuju untuk menyatukan hutang terbabit kedalam satu kumpulan hutang.
“Oleh kerana hutang itu terdiri dari anak-anak syarikat negeri Selangor, jadi kita akan kumpulkan ke dalam satu kumpulan hutang.
"Dan, bila kita berbincang dengan Kumpulan Talam dia dilihat sebagai satu usaha bersama,” kata Khalid lagi.
Khalid menambah, hutang tersebut telah diserahkan kepada Menteri Besar Diperbadankan (MBI) bagi menguruskanya.
“Kedua kita ingin menunjukkan bahawa hutang-hutang ini dibawah kerajaan negeri oleh itu kita telah serahkan kepada syarikat yang menjaga pelaburan tersebut dibawah MBI untuk mengutipnya dari kumpulan Talam,” jelasnya.
Walau bagaimanapun kata Khalid, dalam usaha melaksanakan pembelian hutang tersebut akan ada penyusunan semula hutang-hutang terbabit.
“Tetapi dalam usaha melaksanakanya akan ada penyusunan semula hutang-hutang ini dan ia terpaksa dimasukan kedalam akaun negeri dan diberikan kepada MBI,” katnya lagi.





