ALOR SETAR, Feb 6 — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) hari ini mengarahkan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang bermasalah supaya mengambil langkah segera menyelesaikan masalah parti mereka.
Dua parti yang menghadapi krisis kepimpinan berpanjangan sejak tahun lepas ialah MCA dan Parti Progresif Penduduk (PPP).
Muhyiddin berkata BN tidak mahu masalah dalaman sesebuah parti komponennya membawa kesan negatif dan menjejaskan sokongan rakyat terhadap BN.
Beliau berkata pemimpin parti terlibat harus menyelesaikan masalah mereka bagi memudahkan usaha BN mengembalikan keyakinan rakyat.
“Walaupun masalah dalaman parti-parti terlibat tidak menjejaskan urusan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak namun jika masalah mereka selesai, lebih mudah untuk mengembalikan keyakinan rakyat,” kata beliau dipetik Bernama.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan program Juara Rakyat peringkat negeri Kedah di sini hari ini, beliau berkata MCA juga diarah mengambil langkah segera menyelesaikan masalah dalam kerana parti itu harus memberi keyakinan terhadap kaum Cina di negara ini.
Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin berkata program Juara Rakyat adalah satu program bagi membuktikan kepada rakyat bahawa BN adalah parti yang sebenarnya bekerja untuk rakyat.
Katanya program itu tidak hanya menumpukan penyelesaian masalah orang Melayu, sebaliknya adalah program turun padang untuk menyelesaikan masalah semua kaum.
Beliau berkata setelah rakyat di beberapa buah negeri memberi mandat kepada parti pembangkang untuk memerintah, kini mereka boleh menilai parti manakah yang sebenarnya membuat kerja untuk rakyat.
“Rakyat telah terpengaruh dengan fitnah dan tohmahan yang dilemparkan oleh pembangkang dan sekarang mereka boleh melihat belang sebenar parti pembangkang (setelah diberi kuasa memerintah),” kata beliau.
Timbalan Perdana Menteri berkata sebagai contoh, rakyat boleh melihat bagaimana PAS mentadbir di Kedah dan kegagalan mereka menyelesaikan masalah rakyat.
Muhyiddin berkata begitu juga masalah di Pulau Pinang apabila pakatan pembangkang kini bergaduh sesama sendiri kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri.
“Ini membuktikan niat sebenar pakatan mereka dan telah terburailah apa niat sebenar mereka,” kata beliau.
Timbalan Perdana Menteri berkata oleh itu, rakyat haruslah kembali menyokong BN kerana hanya BN sahaja yang terus membantu rakyat.
“Apa yang penting (bagi BN) ialah kita dekati semula rakyat, ambil tahu masalah rakyat dan selesaikan masalah mereka,” katanya.






Murugiah dilantik atas kapisiti parti PPP yang merupakan komponen BN.
Apa hebatnya Murugiah selaku Timbalan Menteri hinggakan PM dan TPM hendak pertahan jawatan Senator dan Timbalan Menteri yang merupakan hak mutlak parti komponen BN.
BN tidak akan dihormati jika berterusan begini. Saya kenal siapa sebenarnya Murugiah, bekas tentera yang hanya berkelulusan SPM sahaja. Apa keistimewaan Murugiah kerana tindak-tinduk beliau boleh merosakkan emej BN sendiri. Jangan anggap PPP parti serpihan dan tidak berguna kepada BN, ingatlah GE ke 13 akan menentukan masa depan BN. Murugiah seorang ahli politik yang tidak berpendirian, memalukan BN sahaja jika dikekalkan beliau sebagai ahli kabinet.
Oleh itu PM dan TPM kena pecat Murugiah dan gantikan calon yang direstui PPP, habis cerita, selesai, tamat.