Soal siasat saksi: SPRM akur keputusan mahkamah

PETALING JAYA, Nov 20 — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam bahawa ia tidak boleh menyoal siasat mana-mana saksi selepas waktu pejabat.

Sehubungan itu, SPRM berkata ia akan mengeluarkan satu garis panduan berhubung perkara tersebut.

“SPRM akur dengan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Ibu Pejabat SPRM akan mengeluarkan satu garis panduan berhubung perkara ini untuk diedarkan kepada semua pejabat SPRM di seluruh negara,” kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Semalam Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa SPRM hanya boleh menyoal siasat mana-mana saksi pada waktu pejabat antara 8.30 pagi dan 5.30 petang.

Tidak pasti sama ada ia bermakna SPRM tidak akan membuat rayuan berhubung keputusan mahkamah. Ia mempunyai masa sebulan untuk merayu.

Mahkamah juga memutuskan bahawa SPRM telah bertindak di luar lunas perundangan apabila menyoal siasat ahli Majlis Perbandaran Kajang, Tan Boon Wah sepanjang malam di pejabat Selangor di Plaza Masalam, Shah Alam Julai lalu.

Tan menuntut perisytiharan bahawa seseorang yang disiasat di bawah Seksyen 30(1)(a) Akta SPRM 2009 hanya boleh direkodkan pernyataan sebagai saksi dalam waktu pejabat iaitu mulai pukul 8.30 pagi sehingga 5.30 petang setiap hari dan bukannya selepas tempoh yang ditetapkan.

Sehubungan itu, plaintif menuntut perisytiharan bahawa defendan telah bertindak bertentangan dengan peruntukkan Seksyen 30(3)(a) akta tersebut.

 

 

Comments (0)Add Comment

Write comment

busy
 

Sponsored Links