OGOS 31 — Hari ini, rakyat Malaysia seperti saya akan meraikan sambutan Hari Kebangsaan kali yang ke-52.
Sesungguhnya, ia merupakan masa untuk semua mengenang kembali perjuangan serta pengorbanan yang telah dicurahkan oleh para pejuang kemerdekaan negara terdahulu. Kerana pengorbanan merekalah, Malaysia hari ini bebas daripada cengkaman penjajah dan kerana jerih-payah serta keinginan untuk melihat Malaysia menjadi sebuah negara yang makmur, generasi rakyat hari ini berupaya menghirup udara kebebasan.
Barangkali, ada baiknya juga keputusan kerajaan untuk tidak menganjurkan upacara secara besar-besaran bagi memperingati hari yang mulia tahun ini. Atas sebab-sebab yang sudah pun kita ketahui iaitu penularan wabak H1N1 dan kebetulan sambutan kali ini jatuh pada bulan Ramadan, maka sambutan kemerdekaan akan diisi dengan majlis-majlis keagamaan.
Kedatangan Hari Kebangsaan ke-52 mengajak semua rakyat Malaysia untuk merenung sejenak mengenai beberapa perkara. Sebagai rakyat Malaysia yang dilahirkan di bumi yang tercinta ini, kita harus cermin diri dan bertanyakan kepada diri kita, adakah kita merupakan seorang warganegara Malaysia yang bertanggungjawab? Adakah kita telah memberikan yang terbaik kepada negara yang kita diami ini? Sejauhmanakah patriotiknya kita?
Ataupun adakah kita hanyalah sebagai penumpang pasif yang hanya tahu mengkritik dan tidak cenderung untuk memberikan sebarang bentuk sumbangan baik dalam aspek material, moral mahupun semangat kepada kemajuan negara?
Sudah 52 tahun yang lampau semenjak laungan Merdeka sebanyak tujuh kali oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman berkumandang di Stadium Merdeka.
Tetapi berapa ramaikah daripada kita yang benar-benar memahami erti sebenar Merdeka itu? Persoalan-persoalan seperti apa itu Merdeka? Merdeka dari segi apa? Apakah signifikannya kemerdekaan kepada kita? Apa kaitannya Merdeka dengan diri kita? adalah antara persoalan yang harus ditanyakan kepada diri kita sendiri.
Merdeka tidak harus dilihat sekadar negara kita bebas daripada cengkaman penjajah. Merdeka juga bukanlah sekadar cuti umum biasa yang dihabiskan bersama dengan ahli keluarga semata-mata. Signifikan Merdeka sebenarnya lebih luas daripada itu.
Pengertian Merdeka juga harus mengambil kira dari aspek sikap, mindset (pemikiran) dan cara seseorang melihat, menafsir dan menyelesaikan sesuatu isu secara rasional lagi tenang. Pengertian Merdeka juga perlu mengambil kira dari segi kemampuan seseorang mempertahankan jati diri dan identitinya daripada elemen-elemen yang kurang elok. Maka untuk merealisasikan agenda itu, tempat mana paling baik untuk menyemaikan sikap sedemikian kalau tidak dari rumah kita sendiri. Kata orang, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Melihat ke hadapan untuk tahun 2009 ini, diam tak diam kita sudah menghampiri ke penghujung tahun. Tinggal tiga bulan sahaja lagi sebelum kita melangkah ke tahun 2010. Negara kini berada di persimpangan. Senario politik negara telah berubah ekoran prestasi buruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya ke-12 2008. Ekonomi negara kini dalam fasa pemulihan selepas terjejas teruk ekoran kegawatan ekonomi global sementara negara ketika ini juga dibelenggu dengan penularan wabak H1N1 yang semakin meruncing.
Tidak dinafikan, tempoh sekarang merupakan tempoh yang sukar buat negara. Namun berbekalkan semangat perpaduan yang jitu, kesanggupan setiap rakyat untuk berkorban dan bekerjasama antara satu sama lain sudah pasti cabaran sukar seperti yang dinyatakan boleh diatasi dengan mudah dan membolehkan negara melangkah ke hadapan.
Pemilihan tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini yang berbunyi Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan merupakan pilihan yang tepat dan kena pada masanya. Pada ketika negara dilanda ketidaktentuan politik dan hubungan antara kaum tidak begitu memberangsangkan, pemilihan tema yang bersifat penyatu sebegini amatlah penting dan dialu-alukan.
Konsep 1 Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada bulan pertama pemerintahan beliau sebagai contohnya dilihat mampu mencetuskan satu suasana kekitaan dalam kalangan rakyat bahawa negara tercinta ini adalah milik kita bersama.
Tidak ada mana-mana pihak yang seharusnya mempersoalkan atau membangkitkan sebarang isu yang boleh merenggangkan hubungan antara kaum di negara ini. Kita cukup bertuah kerana Malaysia, biarpun tidaklah sehebat berbanding dengan kuasa-kuasa besar dunia tetapi kemampuannya oleh tiga kaum terbesar untuk berinteraksi dengan baik menjadikan Malaysia sentiasa dicemburui oleh negara-negara lain. Cuma malangnya, kebanyakan isu telah dipolitikkan secara keterlaluan oleh pemimpin politik.
Keterikatan dan keutuhan hubungan antara kaum ini akan menjamin kelangsungan negara ketika berhadapan dengan saat-saat mencabar. Tanpa keterikatan yang kukuh ini, tidak mungkin sesebuah negara dapat bertahan apatah lagi menghalang kemaraan musuh.
Justeru, janganlah disebabkan oleh sesuatu perkara atau salah faham maka rosaklah hubungan baik yang terjalin selama ini. Ibarat pepatah yang berbunyi: Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.
Dengan bersatu di bawah satu payung, mustahil pihak musuh akan dapat menembusi benteng pertahanan kita. Malah, pihak musuh pun akan berfikir dua kali semasak-masaknya sebelum merancang untuk menyerang kita. Itulah semangat yang perlu ada dalam diri setiap rakyat. Untuk membina sebuah negara yang kukuh, ia menuntut persefahaman, toleransi dan kesanggupan untuk berkompromi.
Konsep 1 Malaysia cetusan ilham PM menjurus kepada keupayaan kita untuk menerima kepelbagaian yang ada dalam masyarakat. Ia juga menjurus kepada keupayaan rakyat Malaysia berfikir dan bertindak mengikut acuan Kemalaysiaan dan tidak terikut-ikut dengan cengkaman race-centric.
Kita perlukan lebih banyak individu-individu seperti Allahyarham Sudirman Haji Arshad, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Kumpulan Alleycats dan Datuk Lat di negara kita. Ini adalah muka-muka yang benar-benar melambangkan 1 Malaysia dan kesatuan dalam kepelbagaian.
Setiap daripada kita tidak kira Melayu, Cina mahupun India berupaya untuk mengaitkan diri mereka dengan tokoh-tokoh tadi. Hasil karya, lagu, drama dan lukisan mereka yang sarat dengan mesej membina, berjaya menyatukan semua rakyat Malaysia.
Contoh yang paling dekat dengan kita ialah filem-filem lakonan P. Ramlee. Tanyalah kepada mana-mana individu sama ada dari kaum Cina, India mahupun Melayu sendiri, mereka sudah pasti teruja dan terhibur dengan filem-filem P. Ramlee. Gelak ketawa filem-filem lakonan Allahyarham turut membuatkan ramai daripada kita, muda ataupun yang tua yang tidak pernah bosan untuk menontonnya berulang-ulang kali.
Masanya sudah tiba untuk rakyat Malaysia melihat dan menilai sesuatu isu secara holistik. Kikiskanlah sikap syak-wasangka antara satu sama lain yang mungkin wujud ekoran kejahilan terhadap isu yang dibangkitkan. Juga, kepada mana-mana pihak yang ingin menjadi jaguh dalam kaum masing-masing, kurangkanlah ego itu dan marilah kita sama-sama duduk berbincang dalam semangat setiakawan,persaudaraan dan muhibah.
Jika ada perkara yang tidak betul, maka kita betulkannya dengan cara yang baik, yakni mengikut acuan kita sendiri. Tidak semestinya kita perlu ikut telunjuk pihak luar. Yang jauh itu kita dekat-dekatkan, yang dekat itu kita serasi-serasikan.
Sebagai seorang rakyat Malaysia, saya amat mengharapkan untuk melihat rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama dapat duduk semeja berinteraksi, bergelak-ketawa malahan makan secara bersama. Semangat persaudaraan yang pernah ditunjukkan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun V.T. Sambanthan satu ketika dahulu harus dihidupkan kembali.
Apa yang pasti, perjalanan negara untuk tempoh 50 tahun akan datang masih panjang dan penuh dengan ranjau yang berduri. Cabaran-cabaran yang akan dihadapi negara adalah jauh lebih hebat daripada sebelumnya dan menuntut pendekatan berlainan untuk menanganinya.
Jadi, terpulanglah kepada kita semua untuk memastikan Malaysia terus makmur dan stabil ataupun sebaliknya. Kekuatan yang ada pada Malaysia ialah pada kepelbagaian dari segi kaum dan budayanya. Maka manfaatkanlah sebaik mungkin kepelbagaian ini untuk kebaikan bersama.
Kita semua dilahirkan berbeza dan perbezaan dari segi berfikir dan pendapat adalah lumrah dalam hidup. Cuma, bagaimanakah kita boleh menguruskan perbezaan terbabit dan menjadikannya sebagai satu sumber kekuatan kepada kita.
Selamat menyambut Hari Kebangsaan ke-52!






